Taujihat dariku untukmu

Posted by Nur Islam on 14 Februari 2014.



Copy dari page MMY. Semoga bermanfaat untuk semua.


[ Ringkasan Taujihat dan Saranan buat Penuntut Ilmu - Mudarraj Kuliah Tarbiyah (12 Februari 2014) ]

Ditulis oleh saudara Muhammad Fathi Nasir
Oleh : Prof. DR. ‘Abdul Rauf Kharabsheh – Prof. DR. Hussin Bani Khalid – DR. Ibrahim ‘Obadah

Bismillah.

KELEBIHAN MENUNTUT ILMU

Pertama sekali, Dr memberi galakan kelebihan belajar dan menuntut ilmu. Kata Dr, “kamu semua datang dari jauh semata-mata untuk menuntut ilmu, setiap langkah kita di sini dihitung oleh Allah swt, Dia sentiasa merahmati, malaikat pula sentiasa mendoakan dan memohon ampun akan dosa-dosa kita, hatta hidupan di air dan darat turut mendoakan dan memohon ampun untuk kita.”

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ((مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ))

Hadith ini diriwayatkan di dalam Sunan Abi Daud, Imam al-Tarmidzi dalam Jami’nya, Imam Ahmad dalam Musnadnya, al-Baihaqi dan Ibnu Majah.

Sunnah alam yang telah ditentukan oleh Allah swt di mana bangsa yang berilmu akan lebih bertamadun dan kuat sementara bangsa lain terpaksa tunduk sujud mengakui kelebihan dan keilmuan yang ada pada mereka. Manusia perlu menguasai pelbagai bidang keilmuan yang membolehkan mereka mengurus dunia ini menjadi lebih makmur dan bertamadun. Dahulu ketika umat Islam berjaya menguasai bermacam-macam ilmu pengetahuan, seluruh pelosok barat dan timur tunduk kepada Islam. Apabila ilmu tersebut berpindah ke barat dan orang Islam mula kurang kesedaran tentang peri pentingnya ilmu lalu mereka langsung mengabaikannya sehinggakan orang Islam pula yang terpaksa tunduk kepada barat.

"Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (al-Mujaadilah : 10)

Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (az-Zumar : 9)

Terlalu banyak inspirasi dan contoh umat serta sosok terdahulu yang boleh dijadikan pedoman, antara yang disebutkan oleh Dr ialah kisah seorang a'jam (bukan arab) seperti Imam Abu Hamid al-Ghazzali (505h) rahimahullah. Seusai sahaja beliau pulang daripada menuntut ilmu bertahun lamanya, berguni-guni ilmu telah dihimpun melalui lembaran kertas yang dicatat oleh beliau. Semasa dalam perjalanan pulang, beliau telah ditahan oleh seorang perompak. Lalu apakah yang dikatakan oleh Imam al-Ghazzali ?

''AMBILLAH SEGALA DINAR DIRHAM YANG ADA, TAPI TINGGALKANLAH AKU BERSAMA LEMBARAN KERTAS-KERTAS INI''

(Sayangnya Imam al-Ghazzali pada ilmu adalah lebih besar dan mahal daripada nilai dinar dirham yang dimilikinya. Jika hal yang sama berlaku kepada kita, apakah pula reaksi dan tindakbalas percakapan kita pada waktu cemas tersebut?)
Kata perompak jalanan tadi, ''Tidak!! Kami akan musnahkan semua lembaran-lembaran ini lalu barulah kami akan merampas semua harta-harta yang ada''.

Sedihnya bukan kepalang, ilmu yang dihimpun bertahun-tahun selama ini hilang begitu sahaja. Dalam esakan tangisannya, akal tajam beliau mula bermonolog sendirian, ''adakah yang dicuri ini ialah ilmu?.

''JIKA YANG DICURI ITU IALAH ILMU, MAKA ITU BUKANLAH ILMU''

Lantas Imam al-Ghazzali nekad kembali semula ke semua negeri-negeri yang telah dilawatinya untuk menuntut ilmu dari awal lagi namun dengan cara dan pendekatan yang berbeza, kali ini beliau tidak lagi menulis di lembaran kertas, tetapi beliau terus mencatat di kepalanya akan segala yang dipelajari. Bak kata Prof. Dr ‘Abdul Rauf Kharabsheh, ''umpama laptop yang menyimpan (save) segala data''.

Akhirnya muncullah beliau sebagai seorang ulama’ yang sangat hebat hingga ke hari ini sehinggakan nama beliau sentiasa disebut dan berlegar-legar dibibir ulama’-ulama’ terkemudian dan kita semua.

Selain itu, Dr. juga menceritakan secara ringkas berkenaan sosok Imam Abi Bakr Mohammad Ibn Ahmad al-Sarkhasi (483h) rahimahullah. Beliau berasal daripada bangsa keturunan Parsi dan semestinya beliau adalah a’jam iaitu bukan Arab. Pada suatu ketika di mana raja di zamannya telah menyatakan keinginan untuk menikahi seorang wanita namun ‘iddah wanita tersebut masih belum tamat tempoh. Lantas Imam al-Sarkhasi dengan berani telah mengkritik dan mempersoalkan perkara tersebut seraya beliau berfatwa bahawa keinginan raja untuk menikahi wanita tersebut adalah bathil. Murkanya raja dengan kritikan dan pertikaian itu maka dia telah memenjarakan al-Sarkhasi di dalam sebuah perigi.

Sepanjang pemenjaraan al-Sarkhasi di dalam perigi tersebut (15 tahun), beliau telah berjaya mengarang sebuah kitab fiqh sebanyak 30 jilid yang diberikan namanya al-Mabsuth dan beliau juga sempat menghabiskan lebih daripada separuh penulisan sebuah lagi kitab beliau iaitu Siyar al-Kabir.

’Aajib! Bagaimanakah seseorang yang sedang dipenjara ketika hayatnya bisa mengarang sebuah kitab yang begitu banyak sekali jilidnya? Semuanya kerana apa?

Kerana Himmah dan Kesungguhannya pada ilmu serta usaha yang gigih dalam mengislah masyarakatlah telah menjadi pendorong serta kekuatan buatnya.

KEHADIRAN

Seterusnya, Dr. melahirkan rasa kecewa beliau melihatkan reputasi pelajar Malaysia yang kian merosot. Hadir lewat ke kelas 5, 10, 15 minit. Ponteng. Tidak menyiapkan kewajipan seperti tugasan kerja, assignment yang diberikan dan sebagainya. Namun tidak kurang juga Dr. ada menyebut akan pelajar yang yang sentiasa iltizam dengan pembelajaran dan kehadiran mereka ke dewan kuliah. Akhirnya, kesemua pelajar ini telah terbukti berjaya dengan cemerlang.

Ada DUA punca mengapa pelajar Malaysia dikatakan sedemikian :

1. Sibuk dengan perkara luar yang tidak berkaitan dengan pembelajaran. Antara yang disebutkan ialah rehlah ke luar Irbid pada hujung minggu, sekiranya ia dilakukan atas dasar menuntut ilmu, Alhamdulillah. Adapun jika sebaliknya, sesungguhnya masing-masing daripada kita semua tahu akan jawapannya.

2. Lemah penguasaan bahasa Arab dan kurang pergaulan sesama kawan arab. Saranan Dr. agar kita semua bergaul dengan pelajar arab yang iltizam, baik akhlaknya dan semestinya mereka yang bersemangat ingin membantu.
Tambah Dr. lagi, ''Kamu semua harapan bangsa dan rakyat negeri kamu, kamu semua adalah amanah bagi kami, lihat dan nilailah pada diri sendiri, adakah waktu yang kita sia-sia dan bazirkan disini dengan begitu sahaja?''

Antara perkara lain yang disebut adalah hubungan sesama kita, baik perempuan sesama perempuan, lelaki sesama lelaki mahupun perempuan sesama lelaki, di sana pasti wujud batas-batas yang perlu dijaga dan dipelihara oleh setiap daripada kita.

Dr. juga menawarkan khidmat para Doktor-doktor di jami’ah dalam membantu pelajar bukan arab (pelajar Malaysia terutamanya) bagi menguasai sesuatu ilmu, seraya berkata "kami ada di sini, apa sahaja yang kamu tidak faham, kami akan terangkan". Dr. menambah lagi, "sebenarnya jika kamu fokus betul-betul silibus pembelajaran kamu, baca dan ingat bersungguh-sungguh, itu sudah mencukupi bagi kamu".

Bukanlah kita tidak menolak sebarang niat baik dan kesungguhan pelajar dalam mengejar ilmu, namun perlu diukur juga antara keperluan dan keutamaan sesuatu ilmu berdasarkan tahap penguasaan serta kemampuan kita. Bak kata Pepatah Melayu usah jadi seperti, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran".

Fitrah manusia adalah dilahirkan dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa lalu dikurniakan pancaindera dan kekuatan dalam menjalani kehidupan di dunia yang bersifat sementara.

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, penglihatan serta hati akal fikiran, moga-moga kamu bersyukur." (al-Nahl :78)

Semoga dengan bertambahnya usia kita semua pada setiap saat adalah seiring dengan pertambahan ilmu yang bermanfaat, akal yang semakin luas dan bijak menilai, hati yang semakin bersih, jasad yang semakin gigih dan cekal dalam menuntut ilmu dan berbuat baik. Tidaklah kita semua pada hari kelak melainkan akan disoal tentang 'lima' perkara di hari akhirat nanti.

لا تزولُ قَدَمَا عبدٍ يومَ القيامةِ حتَّى يُسألَ عن أربعٍ عَن عُمُرِه فيما أفناهُ وعن جسدِهِ فيما أبلاهُ وعن عِلمِهِ ماذا عَمِلَ فيهِ وعن مالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وفيما أنفقَهُ

"Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat di hadapan Allah sehingga dia disoal tentang lima perkara: tentang umurnya bagaimana dia lalui, masa mudanya bagaimana dia habiskan, dan hartanya daripada mana ia dapat dan bagaimana dia membelanjakannya, dan apa yang dia amalkan daripada ilmunya" (Riwayat Ibn Hibban & al-Tirmidzi)

Kesimpulannya, perjumpaan ini bukan sekadar pertemuan namun suatu luahan disertai dengan harapan, dicambah pula dengan timbunan keprihatinan dan kasih sayang para Doktor-doktor terhadap kita semua. Oleh itu, sepatutnya bagi setiap insan yang lemah seperti kita lebih-lebih lagi sebagai seorang penuntut ilmu agar sentiasa bermuhasabah dan instropeksi diri, mempersiapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat dan berusaha menyelamatkan masyarakat di sekeliling kita daripada kemusnahan di hari akhirat kelak.

Apabila kita berusaha memudahkan urusan orang lain maka Allah swt akan memudahkan urusan kita jua. Bagaimana caranya untuk kita membantu orang lain? Segalanya hanya bermula dengan diri kita sendiri.

Semoga kita semua beroleh manfaat dari perkongsian ini.

No Responses to Taujihat dariku untukmu